MERSING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan institusi pengakap kekal relevan dalam membentuk generasi pelapis negara apabila dipimpin dengan nilai berteraskan kemahiran, disiplin, perpaduan dan kemanusiaan sejagat.
Anwar berkata demikian ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pengakap Johor ke-27 (PAPJ27) di Tanjung Leman, Mersing, Johor, hari ini.
Dalam sesi Temu Anwar X Pengakap, beliau menekankan bahawa nilai manusiawi yang menjadi teras pengakap perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Institusi pengakap ini masih dan akan kekal relevan apabila dipimpin dengan nilai yang kekal sepanjang masa seperti kemahiran, disiplin, perpaduan yang disaluti dengan nilai kemanusiaan sejagat.
“Saya tekankan bahawa nilai manusiawi itu juga, kini perlu bergerak seiring dengan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) bagi mencorak masa depan generasi pelapis yang bakal memimpin negara dengan bijaksana satu hari nanti,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut beliau, keseimbangan antara daya cipta, transformasi digital dan nilai kemanusiaan adalah kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Foto FB Anwar Ibrahim
“Dek kesibukan mengejar daya cipta, transformasi digital dan perubahan dunia, kita jangan alpa akan kepentingan nilai manusiawi hingga mencetus kebencian dan perbalahan kaum serta agama yang telah dipertahankan selama ini,” katanya.
PAPJ27 yang bermula hari ini hingga 17 September ini menghimpunkan lebih 4,000 pengakap dari seluruh Malaysia dan negara jiran sebagai medan memperkukuhkan disiplin, perpaduan serta persahabatan.
Terdahulu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada Pengakap Malaysia.
berita dari buletintv3.my