Pengakap Berkeperluan Khas merupakan cabang dalam Persekutuan Pengakap Malaysia yang memberi ruang kepada ahli Pengakap Kanak-Kanak, Muda, Remaja dan Kelana yang memiliki Kad Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk turut serta dalam dunia kepengakapan.

Penubuhan unit ini bertujuan untuk membuka peluang kepada golongan muda berkeperluan khas dalam meningkatkan potensi diri dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial (JERIS). Melalui latihan dan bimbingan yang sesuai, mereka mampu tampil sebagai individu yang yakin diri serta menyumbang secara positif kepada keluarga, masyarakat, dan negara.

Setiap ahli Pengakap Berkeperluan Khas menjalani latihan yang disesuaikan dengan keupayaan masing-masing, berdasarkan kategori ketidakupayaan yang diiktiraf.

Kategori Ahli Pengakap Berkeperluan Khas
  1. Ketidakupayaan Penglihatan – Rabun (Low Vision), Buta (Blind)
  2. Ketidakupayaan Pendengaran – Ringan hingga Profound (Mild, Moderate, Severe, Profound)
  3. Ketidakupayaan Fizikal – Cacat Anggota, Kerdil, Cerebral Palsy
  4. Masalah Pertuturan – Bisu, Gagap
  5. Masalah Pembelajaran – Lembam (Slow Learner), Down Syndrome, ADHD, Autisme, Terencat Akal
  6. Kurang Upaya Pelbagai – Mempunyai lebih daripada satu ketidakupayaan
Dengan pendekatan yang inklusif ini, Pengakap Berkeperluan Khas bukan sahaja memberi peluang kepada ahli untuk berkawan, beraktiviti dan belajar kemahiran hidup, tetapi juga menanam semangat bahawa setiap insan mempunyai nilai, kebolehan, dan potensi untuk berjaya.