
Pengakap Lebah, atau lebih dikenali sebagai “Bee Scout”, merupakan unit baharu yang diwujudkan khusus bagi memberi pendedahan awal tentang ilmu kepengakapan kepada kanak-kanak prasekolah berusia antara 4 hingga 8 tahun.
Program ini dirangka selari dengan keperluan kurikulum pendidikan awal kanak-kanak, berlandaskan konsep Belajar Sambil Bermain serta Kurikulum Permata Negara. Ia turut mengintegrasikan kepelbagaian budaya dan agama, seiring dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Pada usia ini, kanak-kanak lebih mudah dilentur dari segi sahsiah dan intelek. Justeru, sistem kerja berkumpulan kecil diperkenalkan, selari dengan cara hidup lebah yang bekerjasama dalam satu koloni. Dalam struktur organisasi Pengakap Lebah:
- Koloni atau Sarang (Hive) dibentuk daripada beberapa kumpulan kecil.
- Pemimpin Koloni/Sarang dikenali sebagai “Ratu Lebah”, yang memimpin keseluruhan ahli.
- Ahli Pengakap Lebah pula dikenali sebagai “Anak Lebah”, membentuk kumpulan kecil mereka sendiri secara berpasangan atau bertiga.
Dengan pendekatan ini, Pengakap Lebah bukan sahaja menyeronokkan, malah menjadi landasan awal untuk memupuk nilai persahabatan, kerja berpasukan, kepimpinan, serta disiplin diri sejak usia muda.